Tuesday 19 March 2013

penulisan jurnal



JURNAL REFLEKSI MINGGU KE TUJUH
Sepanjang minggu ini adalah minggu yang benar-benar mencabar dalam tugas saya sebagai guru dalam latihan. Saya ditugaskan sebagai pegawai sukan bagi majlis sukan daerah Yong Peng. Bagi memenuhi tuntutan tugas, saya berusaha membahagikan masa dengan bijak dan memberikan yang terbaik di dalam usaha saya meningkatkan ilmu dan pengalaman di dalam dunia pendidikan terutamanya dunia Pendidikan Khas.
Sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran, pelbagai karenah murid harus saya hadapi dan layani, kerana murid pendidikan khas sememangnya bersifat sensitif dan manja. Ada di kalangan anak-anak murid perempuan saya gemar memeluk saya sewaktu di dalam kelas, dan tidak kurang juga yang merajuk apabila keinginan mereka tidak ditunaikan.
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi agak sukar di kawal selepas waktu rehat, kerana perubahan cuaca yang panas membuatkan murid-murid tidak rasa selesa dan bertindak lebih aktif daripada biasa. Untuk mententeramkan mereka, saya berusaha menyediakan  sesi pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan permainan, supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat di jalankan dengan berkesan. Akan tetapi, perancangan saya tidak menepati jangkaan. Cuaca yang saya jangkakan panas bertukar menjadi mendung pada awal pagi. Aktiviti yang saya rancangkan di luar padang terpaksa saya pindahkan ke astaka. Keadaan menjadi agak kelam kabut kerana murid bermain air hujan dan membasahkan pakaian seragam masing-masing.
Pada minggu ini juga sekolah saya telah mengadakan sambutan Maulidul Rasul peringkat sekolah pada 7 Mac 2013. Sebagai guru agama, saya telah ditugaskan sebagai pengacara majlis dan menyediakan sepanduk bagi sambutan Maulidul Rasul bagi Kelab Pendidikan Khas Integrasi dan Pengakap. Semoga pengalaman baru ini dapat memberi ilmu dan pengalaman yang berguna dan manfaat kepada saya.